Monday, March 28, 2011

Faraid

Assalamualaikum.

Oleh kerana kini aku berhadapan dengan sebuah keluarga yang berlaku kepincangan serta mungkin juga sedang mengalami masalah mental dan hati yang sangat kronik kerana dijangkiti atau dihasuti syaitan iblis. Pastinya syaitan iblis itu kini sedang bergelak ketawa, riang ria meriah bertepuk tampar kerana berjaya menyesatkan anak cucu Adam.

Semua ini gara-gara tuntutan harta pusaka, sehinggakan ada yang sanggup putus saudara daripada langsung tidak memperolehi harta peninggalan si mati. Bertambah mengecewakan apabila harta yang dituntut bukanlah mencecah jutaan sehingga sanggup putus saudara. Huh! Bak kata adikku "ahh, dah takda otak agaknya masing-masing. Buta mata buta hati sebab duit, sanggup berbunuh agaknya". Biasanya kes macam ni selalu kita tengok dalam drama tv, tapi hari ini adalah realiti. Astaghfirullah..

Maka aku pun merajinkan diri untuk mencari bahan bacaan berkaitan pembahagian harta pusaka mengikut sistem pengiraan faraid. Walaupun aku tidak arif akan hal ini, tapi cukup sekadar aku memahami apa sebenarnya Faraid.

Dari segi bahasa, Faraid mempunyai banyak maksud antaranya; ketetapan, menentukan, menghalalkan, memastikan dan mewajibkan.

Dari segi syarak, Faraid bermaksud, pembahagian harta peninggalan (pusaka) orang Islam yang telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat sebelum kematiannya. Maka, harta akan dibahagikan kepada ahli warisnya (anak, isteri suami, ibu dll.) menurut hukum islam. Harta yang dibahagikan kepada warisnya adalah baki harta yang ditinggalkan selepas ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang sama ada dalam bentuk agama (zakat, nazar dll.) atau segala hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan syarak.

Bentuk harta yang boleh dibahagikan dalam bentuk Faraid adalah:
  1. Tanah
  2. Bangunan (rumah)
  3. Insuran dan wang tunai (sama ada dilaburkan atau tidak)
  4. Haiwan ternakan (lembu, kambing, kerbau, dll)
Seperti yang telah disebut dalam hadith Allah swt. dalam surah An-nisaa' ayat 11-14. Dalam ayat ini diterangkan bagaimana pembahagian harta pusaka supaya setiap orang Islam mengikutnya. Barangsiapa yang mengikutnya akan bahagia di dunia dan akhirat dan masuk ke neraka dan kekal di dalamnya kepada sesiapa yang mengingkarinya.

"Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (4:11)

"Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar."(4:12)

"Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina." (4:13-14)

Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya WAJIB untuk ditunaikan. Dan FARDU KIFAYAH kepada umat islam (Khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya. Maklumat tambahan

Dalam Al-Quran jelas menerangkan cara pembahagian harta yang telah ditetapkan oleh Allah swt bagi mengelakkan sebarang perbalahan dan pergaduhan dalam tuntutan. Tapi malangnya, jahil bagi si penuntut yang menuntut harta yang sememangnya bukan haknya. Hukum Allah yang telah menetapkannya begitu. As a Muslim, kita hanya perlu mengikut seperti yang telah ditetapkan. Besar hukumannya bagi ingkar. Astangfirullah..

Sekadar perkongsian untuk dijadikan panduan dan ikhtibar bersama :)

No comments: