Wednesday, September 16, 2009

Cabaran Kebajikan Sosial Hari Ini dan Masa Hadapan

Apabila menyebut tentang isu kebajikan sosial, ramai yang beranggapan ianya merupakan satu perkara yang tidak penting serta tidak perlu diambil tahu. Tetapi itulah hakikatnya bahawa tidak ramai yang tidak mengetahui tentang kebajikan sosial. Kebajikan Sosial di sini amat berkaitan dengan pekerja sosial di mana kebanyakan isu-isu yang berkaitan dengan masalah kebajikan atau masalah sosial adalah tanggungjawab pekerja sosial.

Apa yang boleh dikatakan tentang cabaran kebajikan sosial pada hari ini adalah apabila masih terdapat ramai lagi antara kita yang masih tidak memahami konsep kerja sosial. Mereka menyatakan bahawa kerja sosial itu adalah yang melakukan kerja-kerja amal seperti memberi bantuan kepada mangsa-mangsa bencana atau sebagainya. Kerja-kerja ini sebenarnya adalah yang dilakukan oleh orang yang dinamakan Sukarelawan. Yang mana, sukerelawan tidak boleh dipanggil sebagai pekerja sosial tetapi Pekerja Sosial boleh menjadi sebagai seorang sukarelawan. Sekiranya masalah ini tidak dapat diperjelaskan, cabaran kebajikan sosial pada hari ini seterusnya akan memberi impak pada masa hadapan.

Pekerja Sosial merupakan satu profession yang diiktiraf oleh badan pekerja sosial yang mana tugasnya adalah membantu dalam mencapai kefungsian sosial seseorang dengan berdasarkan syarat-syarat atau peraturan sebagai seorang pekerja sosial. Sebagai contoh membantu dalam kes yang melibatkan rogol. Terdapat tahap-tahap tertentu serta etika yang perlu dipegang sebagai pekerja sosial dalam menyelesaikan sesuatu kes.

Cabaran kebajikan sosial pada hari ini yang kita boleh lihat adalah apabila terdapat ramai lagi rakyat atau orang di Malaysia tidak mendapat bantuan yang sewajarnya dalam menyelesaikan masalah kehidupan yang dihadapi. Sebagai contoh, isu kemiskinan yang tidak pernah habis diperkatakan walaupun pelbagai langkah dan cara mengatasi telah dilakukan oleh pihak kerajaan mahupun NGO. Begitu juga dengan isu masalah sosial yang semakin membimbangkan pada hari ini. Selain itu juga, tentang profession kerja sosial di negara kita yang masih belum meluas selain pekerja sosial yang terlatih yang masih tidak mencukupi.

Tidak adanya pendedahan tentang fungsi kerja sosial secara menyeluruh kepada semua rakyat negara kita menyebabkan profession ini dilihat sebagai satu bidang kecil serta tidak memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Sekiranya hal ini berterusan, tidak hairanlah sekiranya profesion ini akan hilang pada masa hadapan dan masalah yang berkaitan dengan isu kebajikan tidak akan dapat diatasi lagi. Hal ini juga tidak akan berhenti pada masa ini sahaja malah secara langsung memberi impak pada masa hadapan dan cabaran kebajikan sosial pada masa akan datang bertambah besar.

Ini mungkin merupakan salah satu isu yang menyebabkan kebajikan sosial di negara kita masih belum mencapai suatu tahap yang boleh dibanggakan.

Friday, September 11, 2009

Mengapa Manusia Bermasalah

Faktor Persekitaran

Dalam menjalani kehidupan harian, setiap individu tidak terlepas daripada mengalami masalah sama ada berpunca daripada diri sendiri mahupun persekitaran. Dalam hal ini, tedapat lima faktor yang menjawab persoalan Mengapa Manusia Bermasalah? Faktor-faktor tersebut adalah daripada genetik, sosialisasi, persekitaran, struktur peluang dan perbezaan budaya. Dalam persoalan ini, kami hanya akan membincangkan tentang faktor persekitaran. Faktor persekitaran merupakan antara faktor banyak mempengaruhi kehidupan manusia. Faktor persekitaran ini juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu dari segi mikro dan makro. Perskitaran mikro melibatkan persekitaran institusi keluarga, tempat kerja dan sekolah. Manakala dari sudut makro pula merujuk kepada keadaan yang lebih meluas iaitu melibatkan hubungan persekitaran dengan teknologi, globalisasi dan media.

Dari segi mikro, institusi keluarga merupakan faktor persekitaran yang paling hampir dengan individu. Di mana, kefungsian institusi keluarga akan mempengaruhi seseorang itu untuk bertingkahlaku dengan persekitaran luar. Sebagai contoh, dengan penularan masalah sosial yang sangat membimbangkan di kalangan remaja berpunca daripada ketidakfungsian keluarga itu sendiri untuk memainkan peranan dan tanggungjawab. Secara tidak langsung, persekitaran sekolah turut mempengaruhi seseorang individu itu untuk membuat keputusan dengan lebih efisyen yang berpandukan kepada pengetahuan seterusnya dapat membezakan antara yang baik dan buruk.

Dari segi makro pula, ia dilihat sebagai satu faktor yang sangat dominan dalam suatu masalah. Hal ini adalah kerana masalah ini akan melibatkan kerumitan kepada individu, masyarakat mahupun negara. Secara globalisasi, kemelesetan ekonomi telah memberi impak yang sangat besar kepada dunia amnya dan sekaligus memberi kesan negatif dalam khidupan manusia. Sebagai contoh, sektor perkilangan akan mengalami kerugian dan secara tidak langsung peluang pekerjaan menjadi sempit serta menyebabkan ada di antara mereka hilang sumber pendapatan. Faktor teknologi dan media mempunyai perkaitan yang sangat signifikan untuk seseorang itu beradaptasi dengan persekitaran sosial, politik dan ekonomi. Hal ini adalah kerana, kemajuan teknologi pada masa kini telah menyebabkan seseorang itu menyalahgunakan sumber yang ada. Sebagai contoh, dengan adanya laman sesawang seperti ruang sembang iaitu facebook, frienster, tagged, myspace dan yahoo massenger telah menyebabkan seseorang itu leka dan mudah terjebak dengan aktiviti porno. Fenomena ini semakin membimbangkan apabila ianya melibatkan golongan remaja bawah umur yang akan memberi ketagihan kepada mereka untuk melayari internet.

Secara konklusinya, pengawalan dan pengawasan daripada pihak tertentu seperti ibubapa, pihak sekolah dan kerajaan amat penting dalam membantu seseorang itu mengawal personaliti dinamik mereka yang terdiri daripada tingkahlaku, persepsi dan kognitif. Sebagaimana kata-kata daripada Imam Al-Ghazali, Allah tidak akan mengubah nasib hambanya melainkan mereka berusaha untuk mengubahnya’. Kata-kata ini seharusnya menjadi panduan hidup seseorang yang berhadapan dengan pelbagai masalah agar mereka dapat menjalani kehidupan mereka dengan lebih baik tanpa berserah kepada takdir semata-mata.