Thursday, July 23, 2009

Kebajikan Sosial dalam Konsep 1 Malaysia!

Berbagai-bagai isu dalam kebajikan sosial di Malaysia yang perlu di ambil perhatian. Ini kerana, ramai yang tidak sedar akan isu-isu ini dan beranggapan ianya tidak penting. Antara isu yang sering diutarakan adalah masalah kemiskinan rakyat yang tidak pernah habis diperkatakan terutamanya bagi yang tinggal di luar bandar di mana mereka sering terpinggir daripada pendedahan dunia luar dan tidak dapat menerima bantuan kebajikan yang sewajarnya walaupun pelbagai langkah telah diambil untuk membasmi masalah ini.
Apabila melihat kepada tahap kekayaan mengikut kaum juga, kita boleh lihat terdapat jurang pemisah yang cukup jauh. Mungkin dari pandangan Islam ianya dikatakan sebagai rezeki seseorang apabila dapat melalui hidup dengan senang dan selesa. Tetapi apabila memikirkan pula bagi orang yang tidak mampu untuk hidup dengan sempurna bahkan keperluan asas juga tidak dapat dipenuhi, mereka tidak sepatutnya hanya menyerahkan keseluruhan hidup dan semata-mata berharap kepada takdir. Masalah ini sebenarnya dapat diatasi sekiranya seseorang itu mempunyai usaha sendiri untuk memajukan dirinya dalam mencapai matlamat hidup.
Antara isu-isu lain adalah seperti penyalahgunaan dadah yang semakin membimbangkan yang mana ianya menglibatkan golongan muda yang sepatutnya menjadi pelapis kepada pemimpin-pemimpin negara pada masa hadapan. Isu ini juga sering dipaparkan di media massa sehingga pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak jemu-jemu mengadakan pelbagai kempen dan kaedah untuk mengurangkan bilangan penagih dadah di negara ini. Sebagai contoh, pengambilan dadah digantikan dengan sejenis ubat iaitu Metadon yang boleh didapati di hospital-hospital atas nasihat doktor.
Begitu juga dengan isu golongan orang kurang upaya yang sering tidak mendapat hak keistimewaan yang sewajarnya. Pada masa yang sama juga, kemudahan-kemudahan yang telah disediakan pula disalagunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Contohnya tempat letak kereta awam yang pada asalnya disediakan untuk OKU tetapi disalahgunakan pula oleh orang yang tidak mengalami sebarang kecacatan. Apabila berbicara tentang golongan OKU, pastinya ramai yang menyalahkan pihak kerajaan kerana tidak menjaga kebajikan mereka. Walhal mereka yang sebenarnya tidak tahu akan hak keistimewaan yang diberikan. Contohnya dengan wujudnya "kad OKU" di mana setiap orang yang mengalami sebarang kecacatan sehingga menyebabkan ketidakupayaan fizikal perlu memohon kad tersebut untuk membolehkan OKU tersebut mendapat hak yang sewajarnya.
Berdasarkan Konsep Satu Malaysia yang telah di suarakan oleh Perdana Menteri kita dengan matlamat "Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan" adalah amat bersesuaian dalam menjaga kepentingan masyarakat untuk menjadikan kehidupan rakyat lebih terjamin. Ini kerana, dengan masalah ekonomi yang sedang di alami oleh negara kita telah menyebabkan peningkatan kos sara hidup yang tinggi sekaligus meningkatkan jumlah rakyat yang miskin dalam negara. Perpaduan antara semua kaum adalah penting dalam menjamin masa depan bersama seterusnya dapat mencapai matlamat sebenar konsep ini.
Seperti yang dinyatakan oleh Dato' Sri Mohd Najib Tun Hj. Abdul Razak, "Konsep 1MALAYSIA adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, dengan berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Dengan kata lain, konsep ini digagaskan sebgai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat".
Konsep Satu Malaysia yang berteraskan lapan nilai iaitu Ketabahan, Penerimaan, Pendidikan, Intergriti, Meritokrasi, Rendah Hati, Kesetiaan dan Budaya Kecemerlangan harus menjadi pegangan dalam setiap diri masyarakat Malaysia bukan sahaja dalam menjamin kehidupan yang harmoni tetapi, sekaligus dapat menjaga kepentingan serta kebajikan masyarakat di Malaysia.

1 comment:

cikNA said...

acceptance must be the first thing to us as a social worker, and this is one of eight value that suggested by our prime minister.