Keadaan masyarakat pada masa kini memerlukan mereka untuk sentiasa bersedia dalam menghadapi apa jua masalah yang mendatang. Tanpa langkah yang betul dalam menangani permasalahan yang dihadapi boleh membawa kepada masalah emosi. Masalah emosi sering dikaitkan dengan masalah mental, kemurungan (depresif) dan juga kecelaruan emosi. Masalah ini juga dikenali sebagai tekanan perasaan.
Kebiasaannya, kaum wanita merupakan kaum yang sering mengalami masalah emosi berbanding lelaki. Namun ini tidak bermakna yang lelaki tidak mengalami masalah emosi. Ia sering dikaitkan dengan wanita kerana wanita lebih suka meluahkan berbanding menyimpannya sendirian. Ia berlainan dengan kaum lelaki. Kaum lelaki sering memendamkan masalah emosi yang dialami berbanding meluahkannya kerana di khuatiri akan dikatakan seorang yang lemah.
DEFINISI
Masalah emosi merupakan gangguan perasaan yang berlaku kepada individu sehingga mengganggu aktiviti kehidupan seharian.
Definisi Kaunseling menurut Zainal Abidin Ahmad (2002), beliau menjelaskan kaunseling sebagai satu perbincangan antara seorang kaunselor yang terlatih dengan seorang individu atau kelompok kecil yang mengalami kekeliruan dan memerlukan bantuan, bersama-sama memikirkan dan meneliti beberapa alternatif untuk mengatasi sesuatu kecelaruan dan seterusnya melaksanakan alternatif yang dipilih.
PUNCA MASALAH EMOSI
Terdapat pelbagai faktor yang menjadi punca kepada masalah emosi yang dihadapi. Antara punca masalah emosi ini ialah mengalami ketidakseimbangan bahan kimia dalam otak, stress yang keterlaluan, sukar menerima kehilangan orang tersayang, kurang mendapat perhatian dan kasih sayang serta menghadapi tekanan daripada kos sara hidup yang semakin tinggi.
GEJALA MASALAH EMOSI
Seseorang itu boleh dikatakan menghadapi masalah emosi apabila menghadapi gejala-gejala yang akan di sebutkan. Gejala pertama ialah perubahan perasaan. Perubahan perasaan ini dimulai dengan rasa kesedihan yang berpanjangan serta suka menyalahkan diri sendiri atau orang lain.
Gejala seterusnya ialah gangguan terhadap fungsi kognitif. Ini kerana pesakit akan mudah berasa putus asa, mempunyai rasa bersalah yang keterlaluan, pernah terfikir untuk membunuh diri dan juga hilang keseronokan, tumpuan dan minat terhadap sesuatu perkara.
Gejala ini juga boleh dikesan melalui tanda-tanda biologi. Antara tanda-tanda tersebut ialah hilang selera makan dan berat badan. Pesakit juga mengalami gangguan tidur, mula hilang keinginan seksual, gangguan kitaran haid, cepat lesu, selalu sakit kepala dan sakit-sakit badan, masalah pencernaan, termasuklah sembelit dan cirit-birit dan juga insomnia.
RAWATAN
Terdapat pelbagai jenis rawatan yang telah diperkenalkan bagi merawat masalah emosi yang dialami. Antara jenis rawatan yang diberikan ialah Terapi Psikologikal. Terapi ini meliputi psikoterapi dan kaunseling untuk membuatkan seseorang itu memahami dirinya dan menemui kemahiran dalam menyelesaikan masalah bagi mengatasi tekanan yang dihadapinya.
Rawatan seterusnya ialah Terapi berkumpulan. Rawatan ini melibatkan perjumpaan dalam satu kumpulan yang mempunyai masalah yang sama. Mereka akan saling berkongsi masalah dan cara mereka menanganinya berdasarkan pengalaman yang telah dialami.
Selain itu juga, Terapi Kognitif juga merupakan salah satu rawatan yang diberikan kepada individu yang mengalami masalah emosi. Terapi ini membantu mengubah cara pemikiran dan menerima peristiwa yang berlaku di sekelilingnya dan membantu mencapai pemahaman yang lebih baik terhadap maksud kejadian itu kepadanya dan meminimumkan kesan di sebalik kejadian itu.
Terapi Pharmacotherapy juga digunakan sebagai salah satu rawatan. Rawatan ini menggunakan ubat-ubatan yang boleh membantu mengubah perasaan dan membuatkan seseorang itu lebih bersedia menerima lain-lain rawatan.
INSTITUSI / AGENSI YANG TERLIBAT
Jabatan Psikiatri di hospital-hospital besar seluruh negara.
- Memberi perkhidmatan kaunseling
PERKHIDMATAN YANG DIBERIKAN
Biasanya akan menggunakan kaunseling secara individu. Tujuannya adalah untuk membantu pesakit memahami akan hal penyakit untuk membolehkan pesakit lebih bersedia menangani pesakit yang dialami. Selain itu juga, ia adalah untuk membantu individu agar dapat meningkatkan keyakinan serta jati diri masing-masing.
Terdapat dua jenis kaunseling yang diberikan iaitu Kaunseling Individu dan Kaunseling berkumpulan. Di dalam kaunseling individu, kaunseling yang dijalankan adalah bertujuan mewujudkan interaksi dan komunikasi di mana klien akan berpeluang membina kesedaran dan pemahaman melalui penerokaan kendiri serta penjelasan ke atas beberapa matlamat dan alternatif penyelesaian
Di dalam Kaunseling berkumpulan pula, ia melibatkan satu kumpulan orang-orang yang mempunyai masalah yang sama contohnya pesakit depresif menjalani sesi kaunseling bersama-sama membincangkan pengalaman, masalah dan cara mereka menanganinya. Dengan cara ini mereka dapat belajar sesama sendiri dan saling memberi sokongan dan galakan. Peranan Kaunselor di dalam kaunseling kumpulan hanyalah sebagai pemimpin.
PENDEKATAN KAUNSELING
Terdapat empat pendekatan yang biasa digunakan dalam proses kaunseling. Pendekatan tersebut ialah (i) PERKEMBANGAN : Memberikan maklumat mengenai sumber dan kekuatan seseorang supaya ia mempunyai azam dan usaha kepada aktiviti sihat serta peningkatan sifat positif. (ii) INTERVENSI : Mengubah dan membuka pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang bermasalah supaya menerokai, memulih dan mempertingkatkan keyakinan diri. (iii) PENCEGAHAN : Mengadakan program-program pencegahan ke atas perlakuan dan sifat yang negatif dari segi emosi dan pemikirannya. (iv) PEMULIHAN : Penekanan adalah kepada isu-isu permasalahan peribadi, mentaliti, kerjaya dan penyesuaian diri agar seseorang dapat berfungsi sepenuhnya.
KESIMPULAN
Langkah pencegahan masalah emosi boleh diambil dengan kawalan emosi dari diri individu di samping menerima khidmat kaunseling untuk mengembalikan keyakinan diri individu.