Friday, December 17, 2010

Mell..

Mell..
Hmm..Apsal kaw ni Mell. Bagi makanan, langsung tak pandang. Kalau tak, dia la yang selalu paling lapar antara yang lain. Kata orang, kucing mana yang akan lepaskan ikan kalau dah depan mata. Tapi, Mell ni, ikan yang aku bagi pun dia buat derrkk je. Apsal ntah. Tak sihat ke? Badan tak panas pun. Tanya, kaw tak tau nak jwb plak. Tapi kaw meow meow. Macam lapar, tapi bila bagi makanan, tak pulak makan.

Mell, kucing yang paling aku sayang. Berjantinakan jantan but, aku kasi nama Mell. Adik-adikku bilang, "kaw ni salah ksi name la.. kan dah macam kucing bapuk." hahaa.. Kelakar je la. Dah dua ekor kucing aku kasi nama. Perangai kucing tu pun dah macam nama yang aku kasi je pulak dah. hahaha..Tapi, mana la aku nak tau kucing tu dah besar jadi macam tu pulak kan. kalau tau, aku takda la kasi nama yang bukan2.. haha..

Antara minatku..kira macam favourite la..hee..

Sunday, December 12, 2010

Tiba Masanya

1 Muharam 1432 bersamaan 7hb Disember 2010. Satu penghijrahan yang dilakukan oleh nendaku dengan izinNya dan seperti yang dikehendakiNya. Penghijrahan dengan erti kata yang sebenar. Nenda tersayang pergi meninggalkan kami sekeluarga. Kesedihan menyelubungi seluruh ahli keluargaku. Terutamanya ibuku. Sugul yang pasti apabila ingin melangkah pulang meninggalkan kampung halaman yang dulu menjadi kediaman nenda ketika sihat dan sering keseorangan. Sedih tiap kali teringat susah senang tika hayatnya masih ada. Sering keseorangan walhal anak ramai. Sentiasa mengharapkan kepulangan anak-anak dan waktu itu hanya hadir apabila tiba hari raya.

Sedih bila teringat kembali ketika dia masih ada. Bak orang kata, barang sudah tiada sering dikenang-kenang, masih ada sering dilupakan. Hmm.. Manusia.. Satu perkara yang kami sebagai cucu tidak dapat tunaikan adalah majlis perkahwinan. Sedikit terkilan kata embahku kerana masih hayatnya ingin melihat cucunya berumahtangga. Lagi satu perkara yang tidak sempat dilakukan adalah menunaikan haji. Sedih bila teringat apa jua yang pernah dilakukan.

Sakit yang dialami bermula apabila dia jatuh selepas memetik buah terung dan melangkah masuk ke rumah. Nasib agak baik apabila makngah dan maksuku pulang pada waktu itu untuk berbuka puasa bersama. Ada seminggu lagi untuk menyambut Aidilfitri. Menurut maksu, semasa memtik buah terung itu, pada mulanya buah terung yang telah dipetik terjatuh, dan dia mengutipnya. Seterusnya, jatuh buat kali kedua di hadapan pintu rumah dan dibantu oleh Azfar anak maksu. Tetapi, masuk kali ketiga, nenda dan terung-terung terus jatuh dan dia tak sedarkan diri, terus dihantar ke hospital. Tapi, sampai di hospital, doktor hanya menyatakan dia pengsan sahaja dan boleh dibawa pulang. Sehinggalah seminggu bulan syawal, nenda tidak menunjukkan sebarang perubahan dan badannya semakin lemah. Makngah terus menghantar ke hospital dan doktor kata, ada sedikit pendarahan dalam otak kesan jatuh, paru-paru ada jangkitan. Nenda terus dibawa ke hospital Sg. Buloh. Selepas seminggu, dan keadaanya stabil, makngah ambil keputusan yang dia akan menjaganya.

Sehinggalah 7hb Dis tersebut, nenda semakin tenat dan dalam perjalanan ke hospital, pakngah kata, pernafasan yang pada awalnya amat deras, sudah semakin senyap dan nenda pun semakin lemah dan tidak bermaya. Sampai sahaja hospital, doktor mengesahkan nenda hanya 50-50 dan harapan amat tipis. Selepas 5 minit, nenda sudah tiada. Itulah keadaan yang amat memilukan makngah dan memberitahu ibuku yang nenda sudah tiada. Amat sayu aku mendengar suara makngah yang tersekat-sekat kerana menangis.

Pagi hari Rabu, 11.30pg bersamaan 8hb Dis 2010, nenda selamat dikebumikan. Kepiluan melanda seluruh ahli keluargaku. Kenduri tahlil diadakan 3 hari berturut-turut. Pada ketika itu jugalah aku merasakan amat rapat bersama-sama sepupu sebelah ibuku kerana hampir seminggu aku dikampung menghabiskan masa bersama. Daripada situ jugalah aku dapat mengenalpasti tiap-tipa perangai dan sifat saudara-maraku dari yang sudah berumur sehinggalah yang kecil berumur 2tahun. Selepas ini, memang akan susah untuk berjumpa ramai-ramai lagi. hmm..

Hari terakhir kenduri, perbincangan keluarga dilakukan kerana ingin memutuskan siapa yang wajar tinggal di rumah peninggalan nendaku. Perbalahan berlaku dan aku amat sedih mendengarnya kerana tidak ada tolak ansur dan keputusan yang diambil aku kirakan sebagai 'paksa rela'. Tapi apa lagi yang perlu dilakukan, andai itu sahaja keputusan yang terbaik walaupun risiko untuk rumah itu ditinggalkan dan dibiar kosong adalah amat tinggi. Pasti sedih arwah nenda apabila melihat perbalahan tersebut dan kesedihan juga dapat kulihat di riak wajah ibuku selaku anak sulong dan adik-beradik nendaku yang turut sama dalam perbincangan tersebut. Keputusan memutuskan paklangku yang akan menjaga rumah tersebut. Tetapi, jika ku lihat riaksi wajah maklangku, aku tahu dia tidak bersetuju kerana dia sendiri telah memberi alasan untuk tidak tinggal di rumah tersebut kerana masih ada ayah. Hmm..

Aku amat pasti, malam ini rumah tersebut kosong tidak berpenghuni dan hanya diterangi lampu sahaja. Sedih apabila teringat nenda aku yang melihat keadaan rumah tersebut yang kosong tidak berpenghuni. Sedihnya apabila teringat kembali. Tapi apa yang aku boleh buat andai itu sahaja yang terpaksa dilakukan oleh semua. Keluargaku sendiri tidak dapat mengubah keadaan tersebut. Kami redha dengan apa yang berlaku. Apa yang pasti dan aku tahu, nenda pasti bersedih dengan keadaan yang telah berlaku. Semoga rohnya ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman. InsyaAllah.

Bagi diriku sendiri, aku sendiri agak terkilan kerana tidak sempat membalas jasanya, kerana aku tahu, wang untukku melanjutkan pelajaran pada mulanya adalah menggunakan wang nenda. Aku tahu juga bahawa dia adalah orang yang amat gembira apabila mengetahui aku akan melnjutkan pelajaran dengan lebih tinggi dan dia amat berbangga dengan aku. Perkara terakhir yang dia sempat bertanya dengan aku adalah tentang hari konvokesyenku. Sedih aku apabila makngahku bercerita yang nenda bertanya tentang aku. Arghh... Sedih aku kerana tidak sempat memberinya melihat gambar konvoku.. Aku tahu, antara cucunya yang lain, aku antara cucu yang disayangi dan aku jugalah yang sering mendapat wang saku lebih daripada cucu-cucu yang lain.

Sedihnya aku apabila teringat segala yang dilakukan untuk aku dan keluargaku. Aku tahu, wang yang diberikan kepada cucunya adalah hasil daripada jual sayur-sayuran yang ditanam. Argghh.. Sedih apabila teringat dia bersusah payah cari sayur, mengayuh basikal untuk menghantar sayur, jauh dengan hanya basikalnya, sanggup mengayuh basikal semata-mata rindu untuk melihat cucunya, jatuh basikal semata-mata ingin melihat anaknya yang sakit, jatuh basikal kerana hampir dilanggar kereta semata-mata ingin menjaga anaknya yang sakit, sanggup mengayuh basikal ke hospital semata-mata untuk mengambil ubat darah tinggi di hospital walaupun dia sedar perjalanannya adalah jauh. Tapi, jika aku bertanya, jawapannya hanya, 'dekat je, lalu dalam bukan lalu jalan besar'. Padahal, bagiku terlalu jauh untuk umur macam dia mengayuh basikal sejauh itu. Aku yang masih muda ini, belum tentu mampu melakukan perkara yang sama.

Apa yang dikesalkan oleh ahli keluargaku adalah anak lelaki nenda ku yang seorang sering tidak mempedulikan makan minum pakai sakit pening nendaku. Sedih apabila teringat perkara-perkara yang pernah dilakukan terhadap nendaku. Berbuka puasa seorang diri, dibiarkan demam seorang diri. Arghhh.. Sedihnya aku.. Hanya berharap kepada anak-anak lain yang jauh untuk memastikan nendaku sihat. Terutamanya maksuku. Dia yang sering pulang ke kampung. Aku dan keluargaku pula hanya dapat pulang apabila abahku berpeluang untuk cuti.

Segala yang telahku nyatakan di atas bukannya boleh diulang kembali. Semuanya hanyalah memori suka duka sepanjang nendaku masih ada. Tapi kini, ianya hanya kekal sebagai memori lama. Semoga rohnya ditempatkan di sisi-sisi orang yang beriman insyaAllah. Kami sekeluarga redha dengan ketentuan yang Maha Esa. Sahabatku bilang, life has to go on. Apa yang berlaku ada hikmahnya. Hanya kita yang tinggal ini mesti teruskan kehidupan dan melalui hari-hari yang akan datang dengan lebih tabah dan kuat. InsyaAllah. Al-Fatihah..

Friday, December 3, 2010

Hati Baik??

Alhamdulillah. Semua kembali seperti sediakala selepas apa yang berlaku. Redha, perkataan yang paling sesuai. Segalanya kembali dalam 'mood' asal walaupun kadang-kadang rasa tak macam dulu. Tapi, hidup perlu diteruskan.

"Weh.. salah la.. I appreciate it!". Tergelak sendiri aku bila dia sempat lagi betulkan ayat. Hahaha.. Tapi memang salah pun 'grammar' aku. Hahaa. Itu la dia perangai seorang umat yang aku sendiri tak kenal tapi cukup buat aku selesa untuk tanya apa jua pendapat. Walaupun, kadang-kadang ada saja yang cuba untuk buat aku cukup rasa diperbodohkan. Tapi, aku layankan juga sebab itu semua tak menjadi masalah pun. Kalau dia memang betul ade ilmu, memang orang kurang ilmu macam aku ni akan cepat terasa.

Hmm. Hasil daripada aku memulakan habit baru semenjak berkecimpung di arena 'penunggu rumah'.. hehe.. Seorang yang boleh dikategorikan sahabat dan baru-baru ini boleh jadi pembimbing ~maybe..?? Allah je la yang tahu.

Perangainya cukup buat aku selesa walapun aku dah bagi cop sedikit sewel kat dia. "Ko jangan jatuh hati pulak sudaa". Tergelak sendiri aku malam2 ni weh. haha. Kelakar pun ye juga. Dah tentu-tentu la tidak mungkin. Dia ada life dia, dan aku ada life aku. ~haha.. confident level paling tinggi aku ni bila berkata-kata.. haha..~kuasa Allah.. siapa boleh lawan.. SubhanaAllah..~

Hmm. Semua tak lari dari ada masalah. Kalau bab kerohanian memang susah nak tolong. Bak katanya "masalah yang berkait dgn manusia lain, bukan masalah sebab boleh selesai. Tapi, masalah dengan diri sendiri baru batul masalah". Betul juga. Sebab, penyelesaian adalah sukar.

Cukup aku kata dia boleh tahan jugalah kerenah, ilmu dalam keadaan cukup stabil, bekerja, sambung study lagi tapi sedikit sewel plus jiwa kacaw. Hahaha.. Whatever! Tapi aku doakan dia dapat cari calon teman hidup macam mana yang dia nak. Dengan kata lain, "masuk otak" dan bila 'hati' kata "yes". Bukan aku kata, tapi tuan punya badan yang kata ;p.

Wednesday, November 17, 2010

KEMBALI DENGAN HATI

Hampir ke hujung tahun 2010. Tetap masih di sini. Masih mencari-cari peluang pekerjaan yang sesuai. Apakan daya, rezeki masih tidak menyebelahi. Apa sahaja yang ku lalui sepanjang dua bulan ini amat memberi kesan dalam hidupku.

Bermula dengan kisah, nenekku yang dimasukkan ke Hospital Sg.Buloh kerana diserang strok sehingga menyebabkan separuh badannya lumpuh malah kini semakin lemah dan anggota yang sebelah lagi mula menunjukkan 'kekerasan' atau 'muscle cramp' walaupun kerap kali disuruh melakukan senaman tangan, tetapi dia masih begitu. Kini Makngah dan keluarga yang menjaganya. Pada minggu lepas, dia dimasukkan semula ke hospital gara-gara ada jangkitan kuman di paru-paru dan mempunyai luka yang agak dalam di bahagian belakang badan dan doktor hampir melakukan pembedahan kecil untuk memasang satu tiub bagi memudahkan proses perkumuhan serta mengelakkan luka yang semakin teruk. Tapi, alhamdulillah semua beransur pulih dan kini dibenarkan pulang.

Kisah di pagi Hari Raya Aidiladha pula tentang nenek sebelah abahku. Pagi ini sahaja dia mengalirkan air mata gara-gara gurauan daripada adikku. Hmm.. mungkin dia semakin sensitif diikuti dengan faktor umur. Walhal, kami adik-beradik hanya ingin bergurau sementara menunggu anak-anaknya yang lain pulang. Kata ibuku, "orang tua, memang begitu". Ya, aku bersetuju dengannya. Begitulah keadaannya apabila umur semakin meningkat.

Kisah hari-hari kurang bernasib baikku pula adalah hari yang tidak dapat kulupakan seumur hidup. Yang mana, pada hari yang sama aku kehilangan sahabat baik atau BFF, "Best Friend Forever" dan juga terlepas peluang menduduki peperiksaan gara2 kelalaian aku sendiri. Hmmm.. hari-hariku bermula dengan kemurungan selepas hari tersebut sehinggalah hari ini. Seorang sahabat baik yang pada mulanya ingin meminta maaf atas keterlanjuran kata-katanya, tetapi berakhir dengan perpisahan apabila aku sama-sama menaikkan lagi suhu kemarahan. Perasaan menyesal tak sudah sentiasa bertandang.

Ego. Itulah perkataan yang paling sesuai menguasai emosi ketika itu. Hmm.. lepas apa yang berlaku, kini aku sedar, kemaafan dari seorang lelaki adalah lebih sukar dimiliku berbanding kemaafan dari seorang wanita yang mempunyai hati yang lebih lembut. Hmm.. tapi, apakan daya. Tiada apa yang boleh ku lakukan selain hanya mengikut rentak temponya dan akhirnya aku akur untuk sama-sama melupakannya. Mungkin tidak ada rezeki untuk ku mempunyai persahabatan bagi tempoh yang lebih panjang. Allah Maha Menentukan, kita hanya mampu merancang. Aku redha. Seperti sahabatku itu, 'saya pasrah'. Tetapi, dia tetap ku anggap sahabat baik dunia akhirat walaupun mungkin selepas ini tidak akan ada perhubungan antara kami berdua.

MasyaAllah..amatlah aku terasa dengan ketiadaannya kerana selama ini dia adalah antara orang yang banyak memberiku semangat malah dorongan dalam melakukan apa jua perkara. I'm gonna miss him. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa aku amat menyesali dengan apa yang berlaku antara kami. Aku hanya mampu berdoa supaya kami kembali seperti dulu lagi kerana aku tahu dia cukup kecewa dengan keputusan aku ambil. Apa-apa pun, aku tetap mendoakan kebahagiaannya dunia akhirat InsyaAllah.

Sahabat. Janganlah menyakiti hati seorang sahabat hanya kerana ingin mengagungkan ego kerana akhirnya nanti membawa kehancuran diri. Semua yang berlaku ku jadikan pengajaran. InsyaAllah akan ada yang terbaik yang Allah janjikan pada masa hadapan. InsyaAllah.

Friday, August 20, 2010

PEMBUANGAN BAYI?

Entah apa lagi yang perlu diperkatakan tentang kes ini. Semakin hari semakin menjadi-jadi. Jika dikatakan puncanya, pasti ramai yang akan menunding jari antara satu sama lain. Betullah ungkapan "dalam hidup haiwan tiada manusia, tetapi dalam hidup manusia ada haiwan".

Apa yang berlaku. pokok pangkal adalah datang daripada hati individu itu sendiri. Kita tidak perlu untuk menunding jari antara satu sama lain. Ini kerana, kita dapat lihat bahawa kes-kes yang berlaku melibatkan muda-mudi daripada semua golongan termasuklah yang mempunyai ilmu tinggi di dada sehinggalah yang tidak berpelajaran apatah lagi. Lagi memalukan apabila kes ini melibatkan ORANG MELAYU.SubhanAllah.. Barangkali ini memang petunjuk Allah yang menandakan dunia semakin tua malah menghampiri Hari Kiamat. Satu persatu tanda dipertunjukkanNya. Cuma, kita sebagai manusia wajar menyedari akan fenomena yang berlaku.

Ditambah pula dengan bulan yang mulia ini, amat menyedihkan apabila masih juga terdapat kes ini berlaku. Hampir setiap hari akan ada kes pembuangan bayi sama ada masih hidup ataupun yang sudah mati. Di sana sini orang memperkatakan masalah yang dihadapi oleh negara kita kini sehingga membimbangkan. Negara akan semakin hilang pelapis muda untuk menerajui negara pada masa hadapan kelak.

Seperti luahan seorang sahabat di luar negara... Orang luar amat menyanjungi Malaysia dengan menyatakan Malaysia sebuah negara yang bagus. Tetapi hakikatnya, saban hari dihidangkan dengan kes-kes jenayah yang semakin berleluasa. Mungkin apa yang dipaparkan kepada mereka hanyalah kebaikan. Kita tidak akan mendedahkan perkara-perkara yang buruk kerana, ianya hanya akan menjatuhkan lagi martabat negara bangsa Malaysia untuk sama-sama bersaing menjadi sebuah negara maju kelak. InsyaAllah. Langkah terbaik kerajaan hari ini adalah dengan menguatkuasakan undang-undang kepada pelaku jenayah ini. (Seksyen 302 yang membawa hukuman mati). Mungkin ini yang terbaik dalam menangani masalah ini. InsyaAllah.

Wednesday, February 24, 2010

NEW YEAR AND NEW POST coming soon!

hmmm.. dah lame dah rasenye tak update..
tapi sekarang ni tak sempat nak update ape2 pun..
keje tengah banyak.. almaklumlah..
heee... tapi..
InsyaAllah.. ade mase, i'll be update any news!
but now tengah bz pasal:

1- Akta keganasan rumahtangga
2- Proses Mediasi Keluarga Majlis Sulh
3- Kesan Alam Sekitar Terhadap Kualiti Hidup
4- Konsep Psikologi Sosial dalam Iklan "McGyver Melayu.. Motor ni Abahhh punyeerr"
5- Kertas Kerja Seminar- HOMOSEKSUAL
6- Projek Paper - Tinjauan awal mengenai konsep Satu Malaysia dalam Kalangan pelajar Bumiputera UPM..

Insyaallah..see u then!

Tuesday, October 13, 2009

Masalah Emosi dan Kaunseling


PENGENALAN

Keadaan masyarakat pada masa kini memerlukan mereka untuk sentiasa bersedia dalam menghadapi apa jua masalah yang mendatang. Tanpa langkah yang betul dalam menangani permasalahan yang dihadapi boleh membawa kepada masalah emosi. Masalah emosi sering dikaitkan dengan masalah mental, kemurungan (depresif) dan juga kecelaruan emosi. Masalah ini juga dikenali sebagai tekanan perasaan.
Kebiasaannya, kaum wanita merupakan kaum yang sering mengalami masalah emosi berbanding lelaki. Namun ini tidak bermakna yang lelaki tidak mengalami masalah emosi. Ia sering dikaitkan dengan wanita kerana wanita lebih suka meluahkan berbanding menyimpannya sendirian. Ia berlainan dengan kaum lelaki. Kaum lelaki sering memendamkan masalah emosi yang dialami berbanding meluahkannya kerana di khuatiri akan dikatakan seorang yang lemah.

DEFINISI

Masalah emosi merupakan gangguan perasaan yang berlaku kepada individu sehingga mengganggu aktiviti kehidupan seharian.
Definisi Kaunseling menurut Zainal Abidin Ahmad (2002), beliau menjelaskan kaunseling sebagai satu perbincangan antara seorang kaunselor yang terlatih dengan seorang individu atau kelompok kecil yang mengalami kekeliruan dan memerlukan bantuan, bersama-sama memikirkan dan meneliti beberapa alternatif untuk mengatasi sesuatu kecelaruan dan seterusnya melaksanakan alternatif yang dipilih.

PUNCA MASALAH EMOSI

Terdapat pelbagai faktor yang menjadi punca kepada masalah emosi yang dihadapi. Antara punca masalah emosi ini ialah mengalami ketidakseimbangan bahan kimia dalam otak, stress yang keterlaluan, sukar menerima kehilangan orang tersayang, kurang mendapat perhatian dan kasih sayang serta menghadapi tekanan daripada kos sara hidup yang semakin tinggi.

GEJALA MASALAH EMOSI

Seseorang itu boleh dikatakan menghadapi masalah emosi apabila menghadapi gejala-gejala yang akan di sebutkan. Gejala pertama ialah perubahan perasaan. Perubahan perasaan ini dimulai dengan rasa kesedihan yang berpanjangan serta suka menyalahkan diri sendiri atau orang lain.
Gejala seterusnya ialah gangguan terhadap fungsi kognitif. Ini kerana pesakit akan mudah berasa putus asa, mempunyai rasa bersalah yang keterlaluan, pernah terfikir untuk membunuh diri dan juga hilang keseronokan, tumpuan dan minat terhadap sesuatu perkara.
Gejala ini juga boleh dikesan melalui tanda-tanda biologi. Antara tanda-tanda tersebut ialah hilang selera makan dan berat badan. Pesakit juga mengalami gangguan tidur, mula hilang keinginan seksual, gangguan kitaran haid, cepat lesu, selalu sakit kepala dan sakit-sakit badan, masalah pencernaan, termasuklah sembelit dan cirit-birit dan juga insomnia.




RAWATAN

Terdapat pelbagai jenis rawatan yang telah diperkenalkan bagi merawat masalah emosi yang dialami. Antara jenis rawatan yang diberikan ialah Terapi Psikologikal. Terapi ini meliputi psikoterapi dan kaunseling untuk membuatkan seseorang itu memahami dirinya dan menemui kemahiran dalam menyelesaikan masalah bagi mengatasi tekanan yang dihadapinya.
Rawatan seterusnya ialah Terapi berkumpulan. Rawatan ini melibatkan perjumpaan dalam satu kumpulan yang mempunyai masalah yang sama. Mereka akan saling berkongsi masalah dan cara mereka menanganinya berdasarkan pengalaman yang telah dialami.
Selain itu juga, Terapi Kognitif juga merupakan salah satu rawatan yang diberikan kepada individu yang mengalami masalah emosi. Terapi ini membantu mengubah cara pemikiran dan menerima peristiwa yang berlaku di sekelilingnya dan membantu mencapai pemahaman yang lebih baik terhadap maksud kejadian itu kepadanya dan meminimumkan kesan di sebalik kejadian itu.
Terapi Pharmacotherapy juga digunakan sebagai salah satu rawatan. Rawatan ini menggunakan ubat-ubatan yang boleh membantu mengubah perasaan dan membuatkan seseorang itu lebih bersedia menerima lain-lain rawatan.

INSTITUSI / AGENSI YANG TERLIBAT

Jabatan Psikiatri di hospital-hospital besar seluruh negara.

- Mempunyai unit pemulihan carakerja dengan kakitangan terlatih bagi membantu pesakit pulih sepenuhnya.

Pusat-pusat Kesihatan
- Dilengkapi dengan unit pemulihan psikososial di dalam komuniti bagi membantu pesakit pulih dari penyakit dan kembalikan keyakinan diri untuk bekerja dan berinteraksi dengan masyarakat.

Jabatan Kebajikan Masyarakat
- Memberi perkhidmatan kaunseling

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia – Petaling Jaya

Kumpulan-kumpulan Sokongan Keluarga di setiap negeri.

Befrienders Malaysia

PERKHIDMATAN YANG DIBERIKAN

Biasanya akan menggunakan kaunseling secara individu. Tujuannya adalah untuk membantu pesakit memahami akan hal penyakit untuk membolehkan pesakit lebih bersedia menangani pesakit yang dialami. Selain itu juga, ia adalah untuk membantu individu agar dapat meningkatkan keyakinan serta jati diri masing-masing.

JENIS-JENIS KAUNSELING


Terdapat dua jenis kaunseling yang diberikan iaitu Kaunseling Individu dan Kaunseling berkumpulan. Di dalam kaunseling individu, kaunseling yang dijalankan adalah bertujuan mewujudkan interaksi dan komunikasi di mana klien akan berpeluang membina kesedaran dan pemahaman melalui penerokaan kendiri serta penjelasan ke atas beberapa matlamat dan alternatif penyelesaian
Di dalam Kaunseling berkumpulan pula, ia melibatkan satu kumpulan orang-orang yang mempunyai masalah yang sama contohnya pesakit depresif menjalani sesi kaunseling bersama-sama membincangkan pengalaman, masalah dan cara mereka menanganinya. Dengan cara ini mereka dapat belajar sesama sendiri dan saling memberi sokongan dan galakan. Peranan Kaunselor di dalam kaunseling kumpulan hanyalah sebagai pemimpin.

PENDEKATAN KAUNSELING

Terdapat empat pendekatan yang biasa digunakan dalam proses kaunseling. Pendekatan tersebut ialah (i) PERKEMBANGAN : Memberikan maklumat mengenai sumber dan kekuatan seseorang supaya ia mempunyai azam dan usaha kepada aktiviti sihat serta peningkatan sifat positif. (ii) INTERVENSI : Mengubah dan membuka pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang bermasalah supaya menerokai, memulih dan mempertingkatkan keyakinan diri. (iii) PENCEGAHAN : Mengadakan program-program pencegahan ke atas perlakuan dan sifat yang negatif dari segi emosi dan pemikirannya. (iv) PEMULIHAN : Penekanan adalah kepada isu-isu permasalahan peribadi, mentaliti, kerjaya dan penyesuaian diri agar seseorang dapat berfungsi sepenuhnya.

KESIMPULAN

Langkah pencegahan masalah emosi boleh diambil dengan kawalan emosi dari diri individu di samping menerima khidmat kaunseling untuk mengembalikan keyakinan diri individu.